Wednesday, June 9, 2010

KSN Nafi 431,000 Penjawat Awam Terima Rasuah

Rabu Jun 9, 2010

KOTA BAHARU: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini menafikan 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan rasuah sepanjang tahun lalu, sebaliknya angka itu merupakan jumlah tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh itu.

Beliau berkata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) telah tersilap tafsir berkenaan fakta itu. "Ramai (rakyat) yang tidak faham dan salah fahaman berhubung perkara ini (jumlah penjawat awam terlibat rasuah).

"Kenyataannya ialah peratusan itu bukannya daripada jumlah penjawat awam (terbabit rasuah) tetapi daripada jumlah tangkapan yang dilakukan SPRM sepanjang tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 Universiti Malaysia Kelantan(UMK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Cuepacs Omar Osman pada 2 Jun bahawa seramai 418,200 atau 41 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam dikesan terbabit dengan rasuah sepanjang tahun lepas. -BERNAMA

No comments: