Tuesday, May 25, 2010

Singapura tidak lagi sambung perjanjian air

SINGAPURA 24 Mei - Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, negaranya akan menyerahkan semua kemudahan air yang terkandung di bawah Perjanjian Air 1961 kepada pihak berkuasa air Johor secara percuma dan dalam keadaan berfungsi dengan baik selepas 1 Julai 2011.

"Selain itu, Singapura turut mencadangkan projek bersifat "mercu tanda" bagi Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), yang melibatkan kawasan pembangunan seluas 500 ekar.

"Kedua-dua pemimpin telah bersetuju menyokong sebuah perbandaran yang dibina mengikut konsep 'menetap bekerja bersantai' (live work play), yang mana ia akan menawarkan kemudahan serta perkhidmatan yang berasaskan kesejahteraan hidup," jelas Hsien Loong pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Perjanjian pertama pembekalan air dari Malaysia untuk Singapura itu melibatkan penjualan air mentah dari Loji Air Skudai di Johor Bahru yang diurus oleh syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura untuk pembekalan air bersih kepada Johor dan Singapura.

Perjanjian itu dijadualkan akan berakhir pada 1 Julai 2011 dan Singapura telah menyatakan bahawa negara pulau itu tidak berhasrat untuk menyambung perjanjian berkenaan.

Mengenai projek "mercu tanda" untuk Iskandar Malaysia, Hsien Loong berkata, ciri unik projek tersebut ialah ia akan merangkumi segala aspek "kesejahteraan hidup" menerusi pelbagai aktiviti dalam sebuah perbandaran, seperti kaedah-kaedah rawatan tradisional, perubatan alternatif yang saling melengkapi dan rawatan-rawatan serba moden.

"Kedua-dua Perdana Menteri juga bersetuju Khazanah Nasional Bhd. dan Temasek Holdings Ltd. akan membentuk sebuah syarikat usaha sama dengan ekuiti 50-50 bagi melaksanakan projek pembangunan itu.

"Pastinya projek itu akan melibatkan penyertaan sektor swasta dari kedua-dua negara dan kami (Hsien Loong dan Najib) harap untuk melihat pelancaran projek berkenaan dalam tempoh satu tahun," ujarnya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Singapura dan Malaysia turut bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan sama-sama merencanakan pelan pembangunan bersama untuk pembersihan sungai, yang selari dengan usaha-usaha yang kini dilakukan di Iskandar Malaysia.

Kedua-dua negara juga akan melihat kemungkinan melakukan program berkembar bagi produk-produk pelancongan khususnya ekopelancongan. - Utusan

No comments: