Saturday, April 17, 2010

Najib dan AS rapat

US Vice-President Joe Biden welcoming Najib to the Naval Observatory in Washington, Monday, April 12, 2010, for a luncheon meeting in conjunction with the Nuclear Security Summit. (AP Photo/Manuel Balce Ceneta)

Washington Post label Najib 'pemenang' dapat bertemu Obama

ARKIB UTUSAN MALAYSIA: 15/04/2010

WASHINGTON 15 April — Penulis akhbar Washington Post, Al Kamen menerusi ruangan 'In The Loop' menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'pemenang' kerana berpeluang bertemu secara empat mata dengan Presiden Amerika, Barrack Obama.

Kamen memberi komen tersebut berdasarkan daripada kalangan 36 ketua kerajaan dari 46 negara yang menyertai Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear, Najib diberi kesempatan berbincang selama 40 minit dengan Obama.

Katanya, itu menggambarkan keistimewaan yang ada pada Perdana Menteri Malaysia yang dapat mengadakan pertemuan dua hala dengan Obama sedangkan permintaan Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama untuk bertemu dan berbincang dengan Obama, ditolak.

"Pemenang pada sidang kemuncak minggu ini mudah dikenal pasti. Mereka adalah pemimpin yang mengadakan perbincangan empat mata dengan Obama, satu bukti mengenai prestij dan kedudukan mereka ini,” kata Kamen.

Menurut beliau, Presiden China Hu Jintao yang mengadakan pertemuan 90 minit dengan Obama mendahului senarai itu, diikuti Raja Abdullah dari Jordan, Najib, Presiden Viktor Yanukovich dari Ukraine, Presiden Serzh Sargsian dari Armenia, pemangku Presiden Nigeria Goodluck Jonathan dan Menteri Luar Mesir Ahmed Aboul Gheit.


Kamen berkata, Obama mengadakan beberapa pertemuan dua hala, bermula dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan berakhir dengan Canselor Jerman Angela Merkel, satu-satu pemimpin dari Kesatuan Eropah yang berbuat demikian.

Pertemuan Najib dengan Obama, yang pertama antara kedua-duanya pada Isnin lalu, berlangsung selama 40 minit sebelum bermulanya sidang kemuncak itu di Pusat Konvensyen Walter E.Washington.

Sementara itu, Najib ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Obama berkata, ia membawa erti yang cukup besar dan penting buat Malaysia.

"Ia bermakna kita dilihat sebagai penting dan Malaysia dilihat sebagai penting,” katanya.

Sambil menjangkakan bahawa hubungan Malaysia dan Amerika Syarikat akan menjadi lebih produktif dan menarik, Najib berharap Malaysia akan terus dibawa berunding oleh pentadbiran Obama. - Bernama

Najib di New York 17 April 2010

NEW YORK 17 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau dan barisan pentadbirannya bersedia membuat apa juga keputusan sukar yang diperlukan negara kerana yakin akan dihargai oleh rakyat, sekalipun wujud tentangan oleh golongan berkepentingan sempit.

Sementara itu, selepas menunaikan sembahyang Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam di sini, Perdana Menteri mengadakan siri pertemuan terakhir dengan para peneraju syarikat-syarikat terkemuka AS di hotel kediamannya.

Mereka termasuk Naib Presiden Kanan IBM Global Business Services, Frank Kern yang antara lain memberi taklimat kepadanya bagaimana IBM menyediakan sistem maklumat bagi membantu pasukan polis New York menyediakan laporan serta penilaian jenayah serta menangani keadaan lalu lintas yang sentiasa sesak di kota metropolitan ini.

Sambil memberitahu bahawa pihak IBM akan diminta membuat taklimat lengkap kepada kerajaan di Kuala Lumpur, Najib menjelaskan, rangkaian sistem yang disediakan IBM di New York ini mampu membuat penilaian jangkaan tentang sesuatu bentuk jenayah yang akan berlaku.

Mereka juga dapat membantu membuat ramalan awal tentang apa juga kemungkinan mengenai aliran trafik di New York serta mencadangkan langkah-langkah mengurangkan tekanan kepada sistem lalu lintas seperti mengelakkan kesesakan teruk.

Beliau juga menerima kunjungan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif News Corp., Rupert Murdoch dan Ketua Pegawai Eksekutif Greenstreet Partners, Steven J. Green.

Murdoch, yang pertama kali ditemuinya, menganggap iklim pelaburan di Malaysia sangat positif dan berkemungkinan akan melawat Malaysia untuk melihat peluang pelaburan baru, jelasnya. – MINGGUAN