Friday, July 23, 2010

Penyertaan Inai Kiara Semarakkan Lagi Industri Perkapalan Negara

21 Julai, 2010 20:28 PM

PELABUHAN KLANG, 21 Julai (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata penyertaan Inai Kiara Sdn Bhd dalam sektor pembinaan kapal menerusi anak syarikatnya, Selat Melaka Shipbuilding Corporation Sdn Bhd mampu menyemarakkan lagi industri perkapalan negara terutamanya dalam pembinaan kapal pengerukan.

"Ia juga merupakan satu langkah yang positif serta proaktif kerana sebelum ini Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membina kapal pengerukan," katanya semasa merasmikan Pelan Induk Projek Pembangunan Limbungan Selat Melaka Shipbuilding dan upacara menamakan kapal pertama keluaran firma itu di Pulau Indah di sini.

Beliau berkata dengan usaha berani Inai Kiara untuk membawa masuk teknologi Jerman dan Belanda, negara kini mempunyai teknologi yang diperlukan untuk membina kapal pengerukan di persada tempatan.

Rosmah berkata beliau difahamkan limbungan Selat Melaka Shipbuilding ini merupakan satu-satunya limbungan yang berkemampuan untuk membina dan membaik pulih kapal pengerukan di negara ini.

Dengan kedudukannya yang strategik yang mempunyai akses melalui jalan darat dan laut serta berdekatan dengan Pelabuhan Klang, ia sangat berpotensi bagi menarik minat para pelabur asing untuk melabur di dalam pelbagai industri berkaitan seperti minyak dan gas, katanya.

Rosmah berkata: "Justeru, sudah tentu pembangunan limbungan perkapalan ini, bakal memberi nilai tambah yang diperlukan oleh industri perkapalan Malaysia pada ketika ini."

"Saya pasti perkembangan terbaharu ini akan membantu meletakkan nama Malaysia di peta dunia, sebagai sebuah lokasi baharu yang menawarkan kemudahan membina dan membaik pulih kapal pengerukan," katanya.

Selain daripada itu Rosmah berkata beliau difahamkan apabila limbungan kapal ini siap sepenuhnya nanti ia akan menyediakan 10,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kemahiran, dan menjana peluang perniagaan kepada para usahawan, serta pembekal peralatan dan perkhidmatan kepada industri pembinaan kapal tempatan.

Secara tidak langsung, limbungan kapal ini akan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya di Pulau Indah, katanya.

Rosmah berkata:"Penglibatan Inai Kiara sebagai sebuah syarikat tempatan di dalam industri pembinaan kapal pengerukan ini akan membantu untuk menyumbang kepada penjimatan dalam pertukaran mata wang asing negara dan pengurangan kebergantungan kepada syarikat-syarikat perkapalan luar serta insurans asing."

Penglibatan Inai Kiara dalam industri pengerukan dan perkapalan dapat membantu kerja-kerja meningkatkan prasarana dan menaik taraf pelabuhan tempatan, katanya.

Rosmah berkata: "Di samping itu usaha ini juga dikatakan dapat membantu proses pemulihan pantai yang dianggap penting bagi industri pelancongan serta keseimbangan ekosistem negara."

Segala usaha ke arah membangunkan industri perkapalan negara ini sememangnya dialu-alukan kerana ia bukan sahaja dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara tetapi mampu memartabatkan industri ini setaraf dengan negara-negara lain di dunia, katanya.

Beliau berkata: "Mengikut sejarah, negara Jepun dikatakan telah berjaya membangunkan semula ekonominya selepas Perang Dunia Kedua dengan memberi tumpuan kepada industri pembinaan kapal sebagai salah satu daripada strateginya."

Oleh itu, beliau berkata Malaysia kini boleh dianggap berada di landasan yang betul dengan penglibatan syarikat-syarikat tempatan di dalam industri pembinaan kapal negara.

Pada majlis itu, Rosmah diberikan penghormatan untuk menamakan kapal sulung yang dibina limbungan itu, "Inai Ixora" sebuah kapal korek sepanjang 84 metr dengan 13,200kuasa kuda yang boleh mengorek pasir sedalam 18 hingga 25 meter.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Inai Kiara Datuk Kapten Gulzar Mohamad berkata Inai Kiara bergiat di dalam kerja mengorek pasir dan menambak semula pada tahun 1997 sebagai kontraktor kecil dengan menyewa peralatan dari Indonesia dan Eropah.

Bagaimanapun, tujuh tahun kemudian, syarikat itu mula memiliki sendiri kapal-kapal pengerukan terpakai yang dibeli dan dinaik taraf dan sehingga kini ia memiliki 22 buah kapal.

-- BERNAMA

1 comment:

CIKGU SUHASNI said...

Beri peluang orang melayu bangunkan potensi perniagaan mereka..