Saturday, March 13, 2010

Lima juta warga Malaysia aktif dalam Facebook - Najib

PUTRAJAYA 13 Mac - Kira-kira lima juta warga Malaysia sangat aktif dalam laman web sosial, Facebook, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini satu petanda yang baik bahawa masyarakat kini memanfaatkan penggunaan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) dan kerajaan akan melaksanakan inisiatif jalur lebar seberapa luas yang boleh.

"Dengan itu, kita dapat menghubungkan semakin ramai warga Malaysia. Dengan itu, kita dapat menggunakan Internet untuk meningkatkan kesinambungan sosial kita.

"Keindahan Internet ialah ia meruntuhkan benteng antara kita. Ia meruntuhkan benteng (perbezaan) bangsa, agama dan usia. Kita berada di sini kerana kita dihubungkan di Internet," kata beliau dalam majlis jamuan teh Perdana Menteri bersama rakan Internet 1Malaysia di kediaman rasmi beliau, Seri Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor dan dua anak mereka, Nooryana Najwa serta Nor Ashman Razak.

Kira-kira 300 rakan Internet beliau dari seluruh negara dan daripada pelbagai kaum serta peringkat umur menghadiri majlis itu.

Najib berkata kerajaan menggunakan teknologi terkini, iaitu Internet, sebagai salah satu cara untuk berkomunikasi dengan masyarakat, contohnya, selepas beliau membentangkan Bajet 2010, beliau menerima beratus-ratus cadangan yang berguna daripada rakyat.

"Saya mahu anda semua merasakan bahawa anda mempunyai kerajaan yang sangat responsif kepada keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia.

"...dan kami akan menggunakan teknologi terkini untuk berhubung dan berkomunikasi dengan rakyat Malaysia. Melalui cara ini, kita akan memperoleh komunikasi dua hala dan kesinambungan antara rakyat dan kerajaan.

"Memanglah orang akan mengutus surat, orang menulis dakwaan dan sebagainya, tetapi tiada yang serupa dengan penggunaan Internet kerana ia semestinyalah kaedah yang paling berkesan untuk berkomunikasi antara satu sama lain," katanya.

Mengenai majlis hari ini, Najib berkata pertemuan yang julung kali diadakan itu sebagai kaedah untuk mengenali secara bersemuka dengan rakan internet yang telah mengambil inisiatif untuk mendaftar sebagai rakan Facebook beliau.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata beliau tidak dapat menjemput kesemua rakan internet beliau yang kini berjumlah kira-kira 120,000 orang dan jumlah itu meningkat setiap hari ini.

Beliau berkata kumpulan pertama seramai 300 orang dipilih memandangkan ia jumlah maksimum yang dapat memenuhi saiz dewan bankuet di Seri Perdana dan lebih ramai lagi akan dijemput pada majlis seumpama itu pada masa akan datang.

Daripada jumlah yang hadir, seramai 45 peratus daripada kalangan umur 15-29 tahun, antara 30-39 tahun (35 peratus) dan lebih 40 tahun (20 peratus), katanya.

Sambil melahirkan penghargaan kepada rakan Internetnya kerana sangat responsif dan turut meminta maaf kerana adakalanya tidak dapat membalas komen-komen yang diberikan, beliau menyifatkan majlis itu sangat berjaya.

"Ini kali pertama kita berjumpa namun saya dapat merasakan hubungannya. Saya mendoakan kejayaan anda semua dan komited kepada semangat 1Malaysia... anda semua penggerak yang penting bagi membangunkan negara bersama-sama dengan kerajaan.

"Ayuh kita bekerjasama dan menjadikan Malaysia negara yang utuh, bersatu padu dan makmur. Sila teruskan berhubung menerusi Internet," katanya.

No comments: