Thursday, June 11, 2009

Mahathir bercakap lagi

Mahathir tak minat jumpa Kuan Yew

KUALA LUMPUR 11 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berminat untuk bertemu dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew selain tidak yakin jambatan ketiga Malaysia-Singapura akan menjadi realiti.

Beliau berkata, Kuan Yew tidak meminta untuk bertemu dengannya dan tidak ada sebab bagi pemimpin veteran republik berkenaan untuk berjumpa dengan beliau.

"Ah! tak dak,'' katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai kemungkinan bagi beliau untuk bertemu dengan Kuan Yew yang sedang dalam lawatan lapan hari ke negara ini.

Mengenai jambatan ketiga Malaysia-Singapura pula, Dr. Mahathir berkata, jambatan itu hanya akan menjadi kenyataan jika Malaysia memberikan pasir kepada republik berkenaan.

"Jika kita beri pasir kepada Singapura, kita dapatlah (jambatan ketiga),'' kata beliau selepas melancarkan Penyelenggara Kawalan Jauh Operasi Dasar Laut Sapura Crest Petroleum Berhad pada Pameran Minyak dan Gas Asia 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Jelas Dr. Mahathir, Kuan Yew tidak membuat sebarang permohonan untuk bertemu dengan beliau.

"Saya tidak fikir sebab untuk Kuan Yew bertemu dengan saya. Saya bukan sesiapa,'' katanya.

Mengenai pertemuan Kuan Yew dengan pemimpin pembangkang Malaysia, Dr. Mahathir berkata, Menteri Mentor Singapura itu mempunyai pengalaman yang luas.

"Ahli politik Malaysia tidak tahu apa-apa jadi kita kenalah belajar dari Singapura.

"Singapura sebuah negara yang hebat, mereka melabur banyak wang,'' katanya.

Kuan Yew, 85, kini dalam rangka lawatan lapan hari ke negara ini.

No comments: