Friday, December 19, 2008

Deep Throat Watergate meninggal dunia


Mark Felt dirakamkan bersama anak perempuannya, Joan dan seorang cucu di kediaman mereka di Santa Rosa, California pada Mei 2005 lalu. - Reuters

CALIFORNIA 19 Dis. - Bekas orang nombor dua Biro Siasatan Persekutuan (FBI), W. Mark Felt yang terkenal sebagai pemberi maklumat kepada wartawan ketika skandal "Watergate" lebih 30 tahun lalu, meninggal dunia semalam.

Beliau yang mendapat gelaran misteri, "Deep Throat" meninggal pada usia 95 tahun akibat kegagalan fungsi jantung.

Felt dikenali sebagai antara orang yang memainkan peranan penting dalam drama politik "Watergate" yang menggemparkan negara ini sehingga memaksa Presiden Richard Nixon meletakkan jawatan.

Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mendedahkan maklumat mengenai penglibatan Nixon dan pembantunya dalam skandal itu kepada akhbar The Washington Post.

Pada awal pendedahan skandal pencerobohan ke atas ibu pejabat Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan melibatkan Nixon pada 1972, Felt enggan mendedahkan identiti sebenar dan hanya mahu dikenali sebagai "Deep Throat" .

Felt terus menafikan bertanggungjawab membocorkan maklumat itu walaupun Nixon dan sekutunya mengesyaki ia merupakan angkara beliau.

Akhirnya pada Mei 2005, Felt mengakui perbuatannya itu kepada seorang peguam San Francisco yang juga rakan baiknya, John D.O' Connor.

Pendedahan itu telah disiarkan dalam majalah Vanity Fair oleh O'Connors.

Berita ini telah menjadi tumpuan orang ramai dan musuhnya telah menggelar Felt sebagai pengkhianat kepada pegawai atasan dan mengakibatkan beberapa orang dipenjarakan.

Namun para penyokong memanggil beliau sebagai hero kerana berani mendedahkan penipuan dan sabotaj terhadap parti pembangkang.

Felt pada awalnya berbelah bagi sama ada akan mendedahkan identiti sebenarnya kerana bimbang reputasinya akan tercalar.

Namun setelah dipujuk oleh anak perempuannya, Joan, Felt akhirnya bersetuju melakukannya demi masa depan keluarganya.

"Sekurang-kurangnya kami mampu memperoleh wang bagi melangsaikan bil dan hutang pendidikan anak saya.

"Mari kita lakukannya demi keluarga ini," kata Joan kepada bapanya.

- AP

No comments: